Monday, January 31, 2011

PERJALANAN TAUHID SI RAJA MUZAFFAR

Suatu hari Raja Muzaffar yang masih kanak-kanak bertanya kepada bondanya
tentang ALLAH.

"Bonda.. Dimana ALLAH dan bolehkah anakanda melihatNya?"

"Oh.. ALLAH itu di Arasy wahai anakanda dan anakanda tidak dapat
melihatNya kerana ALLAH berada nun jauh diatas 7 petala langit. Sedangkan
langit kedua pun manusia tidak nampak bagaimana hal keadaan zatnya lantas
bagaimana mungkin anakanda akan dapat melihat ALLAH yang berada di Arasy
yang terletak lebih atas dan jauh daripada 7 petala langit?"

"Oh begitu... Bagaimana dengan dalilnya bonda?"

"Dalilnya begini.. "Sesungguhnya Tuhan kamu ialah ALLAH Yang menciptakan
langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy
untuk mengatur segala urusan".. dari surah Yunus ayat ke 3."

Maka giranglah hati Raja Muzaffar kerana telah mendapat jawapan daripada
persoalan yang selama ini sentiasa semak difikirannya. Masa pun berlalu..
hari berganti minggu, minggu berganti bulan dan bulan berganti tahun, maka
telah remajalah Raja Muzaffar. Suatu hari Raja Muzaffar diperintahkan
ayahandanya supaya belajar ilmu-ilmu agama dari Syeikh Abdullah selaku
Mufti di negeri ayahandanya itu. Maka tidak sabar-sabarnya lagi Raja
Muzaffar mahu berguru dengan Syeikh Abdullah sementelah pelajaran agama
adalah yang paling diminatinya.

Suatu hari sambil duduk-duduk santai dengan Syeikh Abdullah tiba-tiba Raja
Muzaffar ditanyai Syeikh Abdullah dengan 2 persoalan yang tidak asing
baginya.

"Wahai anakanda Putera Raja.. Dimana ALLAH dan bolehkah anakanda Putera
Raja melihatNya?"

Sambil tersenyum Raja Muzaffar menjawab sebagaimana yang telah diajarkan
bondanya dahulu.

"ALLAH itu di Arasy wahai Syeikh Guru dan beta tidak boleh melihatNya
kerana ALLAH berada nun jauh diatas 7 petala langit."

Tersenyum kecil Syeikh Abdullah mendengar jawapan muridnya itu dan sejenak
selepas menghela nafasnya Syeikh Abdullah lalu bersuara..

"Begini anakanda Putera Raja... ALLAH itu bukannya makhluk seperti kita
lantaran itu ALLAH tidak seperti kita. Apa sahaja hukum yang terjadi pada
makhluk tidak berlaku seperti itu atas ALLAH. Oleh itu ALLAH tidak
bertempat kerana bertempat itu hukum bagi makhluk."

"Lantas dimana ALLAH itu wahai Syeikh Guru?"

"ALLAH itu tidak bertempat kerana Dia bersifat qiammuhu binafsihi yang
bermaksud ALLAH tidak berhajat pada sesuatu zat lain untuk ditempati. Jika
kita mengatakan ALLAH berhajat pada sesuatu zat lain untuk ditempati maka
ketika itu kita telah menyerupakan ALLAH dengan keadaan makhluk.
Ketahuilah, ALLAH tidak serupa dengan makhluk berdasarkan kepada dalil
dari surah asy-Syuura ayat 11 yang bermaksud "Dia tidak menyerupai segala
sesuatu." ALLAH tidak berdiam di Arasy kerana Arasy itu adalah makhluk.
Bagaimana mungkin makhluk dapat menanggung zat ALLAH sedang bukit
dihadapan Nabi Musa pun hancur kerana tidak dapat menanggung pentajalian
ALLAH."

Raja Muzaffar mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham. Kemudian Syeikh
Abdullah menambah..

"Berkenaan tentang anakanda Putera Raja tidak boleh melihat ALLAH itu
adalah betul namun bukanlah kerana ALLAH itu jauh maka anakanda Putera
Raja tidak boleh melihatNya."

"Jika bukan begitu lantas bagaimana Syeikh Guru?" Tanya Raja Muzaffar
beria-ia ingin tahu.

"Sebenarnya kita tidak dapat melihat ALLAH bukanlah kerana faktor jarak
tetapi kerana keterbatasan kemampuan penglihatan mata manusia yang tidak
mampu melihat zatNya. Ini bersesuai dengan firman ALLAH yang bermaksud
"Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata, sedang Dia dapat melihat
segala penglihatan itu dan Dialah Yang Maha Halus lagi Maha Mengetahui."..
dari surah al-An'am ayat 103."

Terdiam Raja Muzaffar mendengar hujah gurunya itu. Barulah beliau sedar
bahawa apa yang menjadi pegangannya selama hari ini adalah salah. Pegangan
yang mengatakan bahawa ALLAH itu di Arasy dan ALLAH tidak boleh dilihat
kerana faktor jarak adalah satu kesilapan. Huraian daripada gurunya
melalui ilmu Kalam membuatkan Raja Muzaffar begitu kagum dengan kekuasaan
akal yang dapat menghuraikan segala-galanya tentang Tuhan. Bermula dari
hari itu Raja Muzaffar berpegang dengan hujah gurunya bahawa ALLAH itu
tidak bertempat dan manusia tidak boleh melihat ALLAH kerana keterbatasan
kemampuan penglihatan mata manusia. Akhirnya dengan berkat ketekunan dan
kesungguhan, Raja Muzaffar telah berjaya menguasai ilmu-ilmu ketuhanan
menurut peraturan ilmu Kalam sebagaimana yang diajarkan oleh Syeikh
Abdullah hingga mahir.

Masa terus berjalan dan kini Raja Muzaffar telah dewasa. Oleh kerana
begitu minatnya yang mendalam tentang ilmu-ilmu ketuhanan maka beliau
meminta izin daripada ayahandanya untuk menperdalamkan lagi ilmu
pengetahuannya dengan belajar dari guru-guru yang berada diluar istana
sementelah Syeikh Abdullah telah meninggal dunia. Ayahandanya memberi izin
lalu tanpa berlengah Raja Muzaffar menemui sahabat-sahabat sealiran
almarhum Syeikh Gurunya untuk melanjutkan pelajaran.

Raja Muzaffar mempunyai sikap yang pelik. Saban hari apabila beliau
melalui pekan-pekan kecil untuk sampai ke rumah guru-gurunya, beliau akan
bertanya kepada setiap orang yang ditemuinya dengan soalan yang pernah
ditanya kepada bondanya iaitu dimana ALLAH dan bolehkah manusia
melihatNya?. Bagi sesiapa yang menjawab soalannya itu sebagaimana yang
pernah dijawab oleh bondanya maka beliau akan membetulkan kefahaman orang
itu dengan hujah almarhum gurunya Syeikh Abdullah. Jika orang itu tidak
mahu tunduk dengan hujahnya maka orang itu akan dipukulnya sebelum diusir
dari negerinya itu. Begitulah sikap Raja Muzaffar setiap hari sehingga
pada suatu hari beliau bertemu dengan seorang tua yang sedang
bertungkus-lumus menyediakan air minuman untuk diberi minum kepada orang
yang lalu-lalang disebuah pekan tanpa mengambil sebarang upah. Melihat
kelakuan pelik orang tua itu lantas Raja Muzaffar mendekatinya.

"Hei orang tua.. mengapa kamu tidak mengambil upah atas usahamu itu?"

Tanya Raja Muzaffar tegas. Orang tua yang sedari tadi begitu khusyuk
mengagih-agihkan minumannya itu terkejut dengan pertanyaan Raja Muzaffar
lalu meminta Raja Muzaffar memperkenalkan dirinya.

"Siapakah tuan ini?" Tanya si Tua.

"Beta adalah Putera Raja negeri ini!" Jawab Raja Muzaffar tegas.

"Oh kalau begitu tuan ini tentu Raja Muzaffar yang terkenal dengan
ketinggian ilmu ketuhanan itu. Tapi sayang, tuan hanya tahu ilmu tentang
ALLAH tetapi tuan sendiri belum mengenal ALLAH. Jika tuan telah mengenal
ALLAH sudah pasti tuan tidak akan bertanya kepada saya soalan tuan tadi."

Terkebil-kebil mata Raja Muzaffar mendengar kata-kata si Tua itu. Hatinya
terpesona dengan ungkapan 'mengenal ALLAH' yang diucapkan orang tua itu.
Lantas beliau bertanya kepada orang tua itu.

"Kemudian apa bezanya antara 'tahu' dengan 'kenal'?"

Dengan tenang si Tua itu menjawab..

"Ibarat seseorang yang datang kepada tuan lantas menceritakan kepada tuan
tentang ciri-ciri buah nangka tanpa menunjukkan zat buah nangka, maka ini
mertabat 'tahu' kerana ianya hanya sekadar maklumat dan orang yang berada
pada mertabat ini mungkin akan menyangka bahawa buah cempedak itu adalah
nangka kerana ciri-cirinya seakan sama. Berbanding seseorang yang datang
kepada tuan lantas menghulurkan sebiji buah nangka, maka ini mertabat
'kenal' kerana zatnya terus dapat ditangkap dengan penglihatan mata dan
orang yang berada pada mertabat ini pasti dapat mengenal mana cempedak dan
mana nangka dengan tepat."

Raja Muzaffar mendengar dengan teliti huraian si Tua itu. Diam-diam,
hatinya membenarkan apa yang diperkatakan si Tua itu. Kemudian terlintas
dihatinya untuk bertanyakan soalan yang lazim ditanyanya kepada orang
ramai.

"Kalau begitu wahai orang tua silalah jawab persoalan beta ini.. Dimana
ALLAH dan bolehkah manusia melihatNya?"

"ALLAH berada dimana-mana sahaja dan manusia boleh melihatNya." Jawab si
Tua dengan tenang.

Tercengang Raja Muzaffar mendengar jawapan orang tua itu. Seketika
kemudian terus saja orang tua itu dipukulnya sehingga jatuh tersungkur.
Melihat orang tua itu tidak cuba mengelak pukulannya bahkan langsung tidak
menunjukkan reaksi takut maka Raja Muzaffar pun lantas bertanya..

"Kenapa kamu tidak mengelak pukulan beta wahai orang tua?"

"Bukankah tadi sudah saya bilang.. tuan ini hanya orang yang tahu tentang
ALLAH tetapi bukannya orang yang benar-benar mengenal ALLAH."

Terdiam Raja Muzaffar mendengar kata-kata si Tua itu. Kemudian beliau
menenangkan dirinya lantas bersegera duduk diatas tanah dihadapan orang
tua itu.

"Baiklah orang tua. Silalah huraikan jawapan kamu tadi sebab beta
berpegang bahawa ALLAH itu tidak bertempat dan manusia tidak boleh melihat
ALLAH."

"ALLAH itu tidak bertempat adalah menurut pandangan hukum akal sahaja
sedang pada hakikatnya tidak begitu." Ujar orang tua itu sambil mengesat
bucu bibirnya yang berdarah. Kemudian beliau menyambung..

"Bukankah ALLAH itu wujudNya esa?"

"Benar." Jawab Raja Muzaffar.

"Jika ALLAH itu wujudNya esa maka sudah barang tentu tidak ada wujud
sesuatu bersertaNya."

"Benar." Jawab Raja Muzaffar.

"Lantas bagaimanakah kedudukan wujud alam ini jika ALLAH itu diyakini
wujud tanpa ada selain zat yang wujud bersertaNya dengan pandangan mata
hati?"

Raja Muzaffar memejamkan matanya rapat-rapat lantas dikerahkan pandangan
mata hatinya untuk memahami persoalan yang ditanyai orang tua itu.
Tiba-tiba akalnya dapat menangkap dan memahami hakikat alam ini jika ianya
merujuk kepada ruang lingkup keesaan wujud ALLAH. Lantas beliau membuat
satu kesimpulan..

"Jika dipandang dari sudut esanya wujud ALLAH maka alam ini tidak lain
melainkan diriNya sendiri... Tiba-tiba sahaja perkataan itu terpacul
keluar dari bibirnya. Terkebil-kebil matanya apabila mendengar ucapannya
sendiri. Maka lidahnya kelu dan akalnya lumpuh. Terkejut. Tergamam.
Terbungkam.

"Jadi kalau begitu ketika tuan memandang alam ini, siapa yang tuan pandang
pada hakikatnya?" Pantas soalan itu diajukan kepada Raja Muzaffar.

"Pada hakikatnya beta memandang ALLAH!"

"Nah kalau begitu bukankah ALLAH ada berfirman yang bermaksud "Dimana
sahaja kamu menghadap, disitulah wajah ALLAH" dari surah al Baqarah ayat
115 dan dalam surah al Hadiid ayat 3 yang bermaksud "Dialah yang awal,
yang akhir, yang zahir dan yang batin."

Kemudian orang tua itu bertanya lagi..

"Dan sekarang dapat atau tidak tuan melihat ALLAH ketika ini"

"Ya.. beta menyaksikan dengan ainul basyiroh."

Perlahan-lahan berjujuran air mata dari bucu mata Raja Muzaffar. Beliau
menahan sebak kerana sekarang beliau sudah faham kenapa orang tua itu
tidak mengambil upah atas usahanya dan tidak mengelak ketika dipukul.
Semuanya kerana yang dipandangnya adalah pentajallian ALLAH. Dalam hati
perlahan-lahan beliau berkata.. "Memang benar sesungguhnya pada sudut ini,
ALLAH berada dimana-mana sahaja dan manusia boleh melihat ALLAH."

"Makanya wahai Putera Raja.. inilah yang dinamai sebagai ilmu hakikat."

Semenjak hari itu, Raja Muzaffar terus mendampingi orang tua itu untuk
mempelajari lebih dalam selok-belok ilmu hakikat hingga diangkat beliau
oleh gurunya menduduki kedudukan Syeikh ilmu hakikat. Demi mempraktikkan
ilmu-ilmu hakikat yang halus, Raja Muzaffar telah menjadi seorang ahli
ibadah yang alim. Beliau tidak lagi berpegang dengan fahaman almarhum
gurunya iaitu Syeikh Abdullah kerana baginya jalan yang boleh membuatkan
seseorang itu dapat mengenal ALLAH dengan haqqul yaqin ialah dengan ilmu
hakikat. Beliau telah mengenepikan duduk didalam peraturan hukum akal sama
sekali dan mulai duduk didalam peraturan musyahadah. Bagi beliau, ilmu
Kalam yang dituntutnya selama ini adalah semata-mata salah.

Setelah kemangkatan ayahandanya maka Raja Muzaffar ditabalkan menjadi
sultan dinegerinya dan sekarang beliau menyandang gelaran Sultan Muzaffar
Syah pada usia 50 tahun. Beliau memerintah negerinya dengan adil dan
saksama namun sikap peliknya yang dahulu masih diteruskannya. Dimana
sahaja beliau pergi beliau tetap akan bertanyakan soalannya yang lazim
itu. Jika orang yang ditanya tidak dapat menjawab maka akan diajarkan
jawabannya menurut ilmu hakikat dan jika orang itu membangkang akan
dihukum bunuh. Akhirnya kelaziman Sultan Muzaffar Syah ini membuatkan
seluruh rakyat jelatanya menganut fahaman hakikat. Justeru itu rakyat
jelata dinegerinya hidup aman dan makmur.

Suatu petang Sultan Muzaffar Syah yang terkenal sebagai Mursyid ilmu
hakikat itu berjalan-jalan disebuah padang rumput yang luas dengan
ditemani para pembesar istana. Pandangannya tertarik pada gelagat seorang
pemuda pengembala kambing dalam lingkungan usia 30an yang sedang berusaha
menghalau seekor serigala yang cuba memakan kambing gembalaannya. Baginda
mendatangi pemuda gembala itu. Kelihatan pemuda itu hanya memakai pakaian
yang diperbuat daripada guni dan tidak mempunyai kasut sebagai alas kaki.
Rambutnya kering berdebu, bibirnya kering dan badannya kurus.

"Wahai pemuda.. kenapa kamu menghalau serigala itu dari memakan kambing
itu, tidakkah kamu menyaksikan hakikat serigala itu? Maka biarkan sahaja
ALLAH bertindak menurut kemahuanNya."

Mendengar kata-kata Sultan Muzaffar Syah itu sekonyong-konyong pemuda
gembala itu menggenggam pasir lantas dilemparkannya pasir itu ke muka
Sultan Muzaffar Syah. Kemudian pemuda gembala itu membongkok untuk
mengambil segenggam pasir lagi lalu dilemparkan lagi ke muka Sultan
Muzaffar Syah. Sultan Muzaffar Syah hanya tercegat sahaja mungkin terkejut
dengan tindakkan pemuda gembala itu. Pemuda gembala itu terus mahu
mengambil segenggam pasir lagi dan melihat itu seorang pembesar istana
yang berada disitu terus memukul pemuda gembala itu hingga beliau pengsan.

Apabila sedar dari pengsan, pemuda gembala itu mendapati tangan dan
lehernya telah dipasung dengan pasungan kayu didalam sebuah penjara. Tidak
lama kemudian datang dua orang pengawal istana dengan kasar merenggut
badannya dan membawanya ke suatu tempat yang amat asing baginya. Tidak
lama berjalan akhirnya mereka sampai dihadapan singgahsana Sultan Muzaffar
Syah.

"Mengapa kamu melempari muka beta dengan pasir?" Tenang sahaja pertanyaan
Sultan Muzaffar Syah.

"Kerana tuanku mengatakan bahawa serigala itu adalah ALLAH yakni Tuhan saya."

"Bukankah hakikat serigala itu sememangnya begitu?" Tanya Sultan Muzaffar
Syah hairan.

"Nampaknya dakwaan yang mengatakan bahawa tuanku ini adalah seorang yang
mengenal ALLAH adalah bohong semata-mata."

"Kenapa kamu berkata begitu?"

"Sebab orang yang sudah sempurna mengenal ALLAH pasti merindui untuk
'menemui' ALLAH."

Setelah 30 tahun baru hari ini hati Sultan Muzaffar Syah terpesona lagi
apabila mendengar ungkapan 'menemui ALLAH' yang diucapkan oleh pemuda
gembala itu. Dahulu hatinya pernah terpesona dengan ungkapan 'mengenal
ALLAH'. Sejurus itu juga Sultan Muzaffar Syah memerintahkan agar pasung
kayu yang dikenakan pada pemuda gembala itu ditanggalkan.

"Lantas apa utamanya 'bertemu' berbanding 'kenal'?"

Tanya Sutan Muzaffar Syah.

"Adakah tuanku mengenali sifat-sifat Rasulullah?"

Tanya pemuda gembala itu tiba-tiba..

"Ya, beta kenal akan sifat-sifat Rasulullah."

"Lantas apa keinginan tuanku terhadap Rasulullah?"

"Semestinyalah beta mahu dan rindu untuk menemuinya kerana baginda adalah
kekasih ALLAH!"

"Nah begitulah... Orang yang sempurna pengenalannya terhadap sesuatu pasti
terbit rasa ingin bertemu dengan sesuatu yang telah dikenalinya itu dan
bukannya hanya sekadar berputar-putar didaerah 'mengenal' semata-mata."

Tiba-tiba sahaja Sultan Muzaffar Syah berteriak kuat dengan menyebut
perkataan 'Allahu Akbar' sekuat-kuat hatinya lalu baginda jatuh pengsan.
Tidak lama kemudian setelah wajahnya disapukan dengan air sejuk maka
baginda kembali sedar. Sultan Muzaffar Syah terus menangis teresak-esak
hingga jubahnya dibasahi dengan air matanya. Baginda memuhassabah
dirinya.. "Memang.. memang selama ini beta mengenali ALLAH melalui ilmu
hakikat tetapi tidak pernah hadir walau sekelumit rasa untuk bertemu
denganNya. Rupa-rupanya ilmu hakikat yang beta pegangi selama ini juga
salah sepertimana ilmu bonda dan ilmu Syeikh Abdullah".. bisik hatinya.
Kemudian terlintas difikiran Sultan Muzaffar Syah untuk menanyakan soalan
lazimnya kepada pemuda gembala itu.

"Kalau begitu wahai orang muda, silalah jawab persoalan beta ini.. Dimana
ALLAH?"

Dengan tenang pemuda gembala itu menjawab..

"ALLAH berada dimana Dia berada sekarang."

"Kalau begitu, dimana ALLAH sekarang?

"Sekarang ALLAH berada dimana Dia berada dahulu."

"Dimana ALLAH berada dahulu dan sekarang?"

"Dahulu dan sekarang Dia berada ditempat yang hanya Dia sahaja yang ketahui."

"Dimana tempat itu?"

"Didalam pengetahuan ilmu ALLAH."

Sultan Muzaffar Syah terdiam sebentar sambil keningnya berkerut memikirkan
jawapan yang diberi pemuda gembala itu. Kemudian baginda meneruskan
pertanyaannya lagi.

"Bolehkah manusia melihat ALLAH?"

"Kunhi zatNya tidak boleh dicapai dengan pandangan mata kepala dan
pandangan hati."

"Sila perjelaskan lagi wahai anak muda." Pinta Sultan Muzaffar Syah.

"Begini tuanku.. adapun jawapan yang diberikan oleh bonda tuanku itu
diatas soalan lazim yang tuanku berikan itu adalah sebenarnya betul
menurut tahapan akal tuanku yang ketika itu dinilai masih kanak-kanak.
Adapun jawapan yang diberikan oleh Syeikh Abdullah itu juga betul jika
dinilai dari sudut hukum akal. Adapun jawapan yang diberikan oleh Syeikh
Tua itu juga betul jika dinilai dari sudut pengamalan musyahadah terhadap
ilmu Hakikat. Begitu jugalah dengan jawapan yang saya berikan juga betul
jika dinilai dari sudut ilmu Ma'rifat. Tiada yang salah cuma ilmu itu
bertahap-tahap dan tuanku telah pun melalui tahapan-tahapan itu. Dari
tahapan jahil (ilmu bonda) ke tahapan awam (ilmu Kalam) kemudian ke
tahapan khusus (ilmu Hakikat) dan akhir sekali ke tahap khawasul khawas
(ilmu Ma'rifat)."

Kemudian pemuda gembala itu terus menyambung kata-katanya..

"Jika ilmu Hakikat itu jalan fana kerana menilik kepada zat ALLAH maka
ilmu Ma'rifat pula jalan baqo' kerana menilik terus kepada Kunhi zat
ALLAH. Maka jawapan bagi persoalan tuanku itu secara yang dapat saya
simpulkan ialah Tiada yang tahu dimana ALLAH melainkan ALLAH dan tiada
sesiapa yang dapat melihat ALLAH melainkan diriNya sendiri."

Sultan Muzaffar Syah mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham.

"Jadi bagaimana hendak sampai ke tahap mengenal ALLAH dengan sempurna
sehingga terbit rasa ingin untuk menemuiNya?"

"Jangan mengenal ALLAH dengan akal sebaliknya mengenal ALLAH dengan ALLAH."

"Kemudian, apakah cara-caranya untuk dapat bertemu dengan ALLAH?"

"Sebagaimana firman ALLAH yang bermaksud ".. Barangsiapa mengharap
pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan amalan soleh dan
janganlah dia mempersekutukan Tuhannya dalam beribadat kepadanya".. dari
surah al Kahfi ayat 110."

Mendengar penjelasan daripada pemuda gembala itu hati Sultan Muzaffar Syah
menjadi tenang dan akhirnya baginda diterima menjadi murid si pemuda
gembala itu. Kerana kesungguhan yang luarbiasa dalam menuntut ilmu
Ma'rifat maka baginda mahsyur terkenal sebagai seorang sultan yang
arifbillah lagi zuhud dan warak. Kemudian rakyatnya dibiarkan bebas untuk
berpegang pada mana-mana fahaman pun asalkan ajarannya masih didalam ruang
lingkup yang mengikuti pegangan Ahlussunnah wal Jamaah. Dan sekarang pada
usia 70 tahun barulah Sultan Muzaffar Syah sedar dan faham bahawa untuk
memahami tentang ALLAH maka seseorang itu harus melalui tahapan-tahapan
yang tertentu sebelum seseorang itu layak dinobatkan sebagai arifbillah.
Baginya samada ilmu Kalam, ilmu Hakikat atau ilmu Ma'rifat maka kesemuanya
adalah sama penting untuk dipelajari bagi mewujudkan kesempurnaan untuk
mencapai kedudukan Insan Kamil yang Ma'rifatullah.

Kini Sultan Muzaffar Syah sudah memahami bagaimana rasanya rindu kepada
ALLAH dan bagaimana rasanya benar-benar tidak sabar untuk bertemu ALLAH.
Sejak semalam mulutnya tidak henti-henti asyik mengucapkan kalimah
ALLAH..ALLAH..ALLAH dan kadang-kadang terlihat deruan air mata jernih
mengalir perlahan dipipinya sewaktu dipembaringan. Perlahan-lahan pemuda
gembala menghampiri Sultan Muzaffar Syah yang sejak 20 tahun lalu tinggal
bersama dengannya dirumah usangnya lantas meletakkan kepala muridnya itu
diribaan silanya dengan linangan air mata. Kini nafasnya mulai
tersekat-sekat dan melihat itu, pemuda gembala merapatkan bibirnya ke
telinga Sultan Muzaffar Syah lantas mentalqinkan baginda dengan dua
kalimah syahadah seraya diikuti baginda dengan senyuman. Sejurus kemudian
Sultan muzaffar Syah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Suasana
hening... pemuda gembala menunduk sahaja dan sebentar kemudian dia
berkata..

"Wahai alangkah beruntungnya.. sekarang tuanku benar-benar telah menemui
ALLAH dan dapat mengenalNya dengan sebenar-benar kenal. Wahai ALLAH, masih
belum layakkah untuk aku bertemu denganMu.. aku mencemburui Sultan
Muzaffar Syah ini maka jemputlah aku menghadapMu Ya ALLAH...". Sebentar
kemudian pemuda gembala itu pun turut rebah dan menghembuskan nafasnya
yang terakhir. Suasana kembali hening.........

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...